Tuesday, 4 April 2017

KEPENTINGAN MEMAHAMI SEJARAH DALAM PEMBANGUNAN INSAN



KEPENTINGAN MEMAHAMI SEJARAH DALAM PEMBANGUNAN INSAN

Sejarah merupakan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi sewaktu masa dahulu. Sejarah bukan hanya membincangkan peristiwa-peristiwa masa lalu yang padat dengan fakta-fakta sejarah tetapi sebagai pemangkin pembangunan diri insan (Nur Syazwani Abdul Talib, Kamarulzaman Abdul Ghani dan Nur Azuki Yusuff, 2016). Melalui sejarah kepentingan sesuatu peristiwa, sebab dan akibat dapat diketahui. Seterusnya pengajaran berharga daripada sejarah tersebut dapat dipelajari sebaik mungkin untuk kebaikan masa hadapan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT tentang pengajaran yang dapat diperoleh daripada sejarah umat-umat terdahulu yang bermaksud:

            “Demikianlah Kami menceritakan kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian dari kisah-kisah umat manusia yang telah lalu; dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami (sebuah Kitab al-Quran yang menjadi) peringatan.”                 (Surah Taha 20:99)

Antara manfaat hasil daripada pemahaman tentang sejarah ialah pemerkasaan pembangunan insan. Terdapat pelbagai kepentingan pemahaman tentang sejarah dalam pembangunan insan. Pertama, pembentukan keperibadian yang terpuji. Peribadi yang terpuji dapat dibentuk dalam diri insan hasil meneladani peribadi tokoh-tokoh terdahulu (Siti Zainun Mat, 1990). Ramai tokoh daripada pelbagai bidang, sama ada dalam atau luar negara boleh dijadikan sebagai suri teladan dalam membina diri insan. Sebagai seorang Muslim, sudah pasti suri teladan yang terbaik dalam membina diri insan ialah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Tiada individu yang terbaik untuk dijadikan suri teladan membentuk peribadi yang baik melainkan Rasulullah SAW. Allah SWT telah berfirman surah al-Ahzaab ayat 21 yang bermaksud:

            “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Terdapat banyak kisah hidup Rasulullah SAW yang boleh dijadikan pengajaran dalam kehidupan seorang Muslim terutama tentang keperibadian baginda SAW. Antara contoh peribadi baginda SAW yang mulia ialah sifat pemurah. Ibnu Abbas menceritakan rasulullah SAW ialah seorang yang paling pemurah. Sifat pemurah baginda lebih ketara ketika bulan Ramadan (al-Mubarakfuri, 2011).

Kedua, pemahaman tentang sejarah dapat membina jati diri insan. Individu Muslim yang faham akan sejarah bangsa dan negara, terutama sejarah berkaitan Islam akan lebih kukuh jati dirinya. Tidak dinafikan agama merupakan tunjang dalam membina jati diri, terutama bagi seseorang Muslim. Jati diri merupakan antara asas penting dalam pembangunan insan secara khusus, mahupun dalam pembangunan masyarakat dan negara secara umumnya. Insan yang memiliki jati diri yang mantap tidak mudah terpengaruh dengan anasir dan budaya yang tidak sihat. Sebagai contoh, sejarah tentang kesusahan para sahabat dalam menegakkan Islam sehingga ada para sahabat yang syahid dalam mentauhidkan Allah SWT. Kisah ini dapat dijadikan pengajaran dalam membina jati diri insan agar sentiasa berpegang teguh akan akidah sebagai seorang Muslim.

Ketiga, sejarah mengajar insan agar tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Terdapat pelbagai kisah dalam al-Quran tentang kaum-kaum yang dimusnahkan oleh Allah SWT akibat kesilapan yang telah dilakukan. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Katakanlah: “mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka ialah orang-orang musyrik.”                                                (surah ar-Ruum 30:42)

Allah SWT meletakkan kisah mereka dalam al-Quran bertujuan supaya umat terkemudian mengambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku ke atas mereka (Marina Mat Arus, 2016). Insan yang memahami sejarah ini perlu berusaha agar tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan agar menjadi insan dan masyarakat yang lebih baik.

Kesimpulannya, kepentingan memahami sejarah bukan bermatlamat untuk membangunkan insan daripada aspek keperibadian dan jati diri semata-mata. Kedua-dua aspek ini hanyalah jalan dalam membangunkan insan yang mempunyai keimanan yang tinggi kepada Allah SWT. Insan yang hebat ialah insan yang sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama makhluk, demi meraih keredaan Allah SWT. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

            “Dan tiap-tiap berita daripada berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu denganNYa. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”     (Surah Hud 11:120)
 

RUJUKAN

Al-Mubarakfuri, Shaikh Sofiy al-Rahman. (2011). Kisah Rasulullah SAW. (Mohd Darus Senawi Ali, Terj.). Kuala Lumpur: Penerbitan Seribu Dinar.
Marina Mat Arus. (2016). Himpunan kisah kaum-kaum yang binasa. Selangor: Hijjaz Records Publishing.
Nur Syazwani Abdul Talib, Kamarulzaman Abdul Ghani & Nur Azuki Yusuff. (2016). Tahap pengetahuan dan sikap graduan IPT serta hubungannya dengan minat terhadap sejarah: Usaha awal memupuk semangat cinta negara. Jurnal Pemikir Pendidik, 7, 57-72.
Siti Zainun Mat. (1990). Kepentingan pelajaran sejarah dalam sistem pendidikan di Malaysia. Persatuan Sejarah Malaysia.

Ulasan Novel - Sebelas Patriot

SEBELAS PATRIOT – ANDREA HIRATA “Jika ada hal lain yang sangat menakjubkan di dunia ini selain cinta, bola sepak” -         ...