KEPENTINGAN
MEMAHAMI SEJARAH DALAM PEMBANGUNAN INSAN
Sejarah
merupakan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi sewaktu masa dahulu. Sejarah bukan
hanya membincangkan peristiwa-peristiwa masa lalu yang padat dengan fakta-fakta
sejarah tetapi sebagai pemangkin pembangunan diri insan (Nur Syazwani Abdul
Talib, Kamarulzaman Abdul Ghani dan Nur Azuki Yusuff, 2016). Melalui sejarah
kepentingan sesuatu peristiwa, sebab dan akibat dapat diketahui. Seterusnya
pengajaran berharga daripada sejarah tersebut dapat dipelajari sebaik mungkin
untuk kebaikan masa hadapan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT tentang
pengajaran yang dapat diperoleh daripada sejarah umat-umat terdahulu yang
bermaksud:
“Demikianlah Kami menceritakan
kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian dari kisah-kisah umat manusia yang telah
lalu; dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami (sebuah
Kitab al-Quran yang menjadi) peringatan.” (Surah Taha 20:99)
Antara manfaat
hasil daripada pemahaman tentang sejarah ialah pemerkasaan pembangunan insan. Terdapat
pelbagai kepentingan pemahaman tentang sejarah dalam pembangunan insan.
Pertama, pembentukan keperibadian yang terpuji. Peribadi yang terpuji dapat
dibentuk dalam diri insan hasil meneladani peribadi tokoh-tokoh terdahulu (Siti
Zainun Mat, 1990). Ramai tokoh daripada pelbagai bidang, sama ada dalam atau
luar negara boleh dijadikan sebagai suri teladan dalam membina diri insan.
Sebagai seorang Muslim, sudah pasti suri teladan yang terbaik dalam membina
diri insan ialah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Tiada individu yang
terbaik untuk dijadikan suri teladan membentuk peribadi yang baik melainkan
Rasulullah SAW. Allah SWT telah berfirman surah al-Ahzaab ayat 21 yang
bermaksud:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi
kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang
sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta
ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan
senang).”
Terdapat banyak
kisah hidup Rasulullah SAW yang boleh dijadikan pengajaran dalam kehidupan
seorang Muslim terutama tentang keperibadian baginda SAW. Antara contoh peribadi
baginda SAW yang mulia ialah sifat pemurah. Ibnu Abbas menceritakan rasulullah
SAW ialah seorang yang paling pemurah. Sifat pemurah baginda lebih ketara
ketika bulan Ramadan (al-Mubarakfuri, 2011).
Kedua, pemahaman
tentang sejarah dapat membina jati diri insan. Individu Muslim yang faham akan
sejarah bangsa dan negara, terutama sejarah berkaitan Islam akan lebih kukuh
jati dirinya. Tidak dinafikan agama merupakan tunjang dalam membina jati diri,
terutama bagi seseorang Muslim. Jati diri merupakan antara asas penting dalam
pembangunan insan secara khusus, mahupun dalam pembangunan masyarakat dan negara
secara umumnya. Insan yang memiliki jati diri yang mantap tidak mudah
terpengaruh dengan anasir dan budaya yang tidak sihat. Sebagai contoh, sejarah
tentang kesusahan para sahabat dalam menegakkan Islam sehingga ada para sahabat
yang syahid dalam mentauhidkan Allah SWT. Kisah ini dapat dijadikan pengajaran
dalam membina jati diri insan agar sentiasa berpegang teguh akan akidah sebagai
seorang Muslim.
Ketiga, sejarah
mengajar insan agar tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh
masyarakat terdahulu. Terdapat pelbagai kisah dalam al-Quran tentang kaum-kaum
yang dimusnahkan oleh Allah SWT akibat kesilapan yang telah dilakukan. Allah
SWT telah berfirman yang bermaksud:
“Katakanlah: “mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah
bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan);
kebanyakan mereka ialah orang-orang musyrik.” (surah
ar-Ruum 30:42)
Allah SWT
meletakkan kisah mereka dalam al-Quran bertujuan supaya umat terkemudian
mengambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku ke atas mereka (Marina Mat
Arus, 2016). Insan yang memahami sejarah ini perlu berusaha agar tidak
mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan agar menjadi insan dan masyarakat
yang lebih baik.
Kesimpulannya,
kepentingan memahami sejarah bukan bermatlamat untuk membangunkan insan
daripada aspek keperibadian dan jati diri semata-mata. Kedua-dua aspek ini
hanyalah jalan dalam membangunkan insan yang mempunyai keimanan yang tinggi
kepada Allah SWT. Insan yang hebat ialah insan yang sentiasa menjaga hubungan
dengan Allah SWT dan hubungan sesama makhluk, demi meraih keredaan Allah SWT. Allah
SWT telah berfirman yang bermaksud:
“Dan tiap-tiap berita daripada
berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk
menguatkan hatimu denganNYa. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini
kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Hud 11:120)
RUJUKAN
Al-Mubarakfuri,
Shaikh Sofiy al-Rahman. (2011). Kisah Rasulullah SAW. (Mohd Darus Senawi
Ali, Terj.). Kuala Lumpur: Penerbitan Seribu Dinar.
Marina Mat
Arus. (2016). Himpunan kisah kaum-kaum yang binasa. Selangor: Hijjaz
Records Publishing.
Nur Syazwani
Abdul Talib, Kamarulzaman Abdul Ghani & Nur Azuki Yusuff. (2016). Tahap
pengetahuan dan sikap graduan IPT serta hubungannya dengan minat terhadap
sejarah: Usaha awal memupuk semangat cinta negara. Jurnal Pemikir Pendidik,
7, 57-72.
Siti Zainun
Mat. (1990). Kepentingan pelajaran sejarah dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Persatuan Sejarah Malaysia.