HOW TO TALK SO
KIDS CAN LEARN AT HOME AND IN SCHOOL - Adele Faber & Elaine Mazlish
Kali pertama
melihat buku ini di kedai buku, terus terasa ingin memilikinya lantaran keinginan kuat untuk lebih memahami
kanak-kanak. Tambahan lagi, apabila selalu dibayangi dengan soalan seperti; “kenapa
budak-budak ini susah nak dengar cakap aku?”. “salahkan cara aku tegur mereka
ini?”
Lantas, helaian
demi helaian dibaca bermula dari kulit hadapan hingga kulit belakang. Setiap bab
yang dibaca selalu diakhiri dengan ayat; “oh, begitu rupanya caranya.” Barulah difahami
akan teknik dan cara untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak.
Dalam buku ini,
penulis mendatangkan pelbagai teknik dan cara yang boleh digunakan oleh ibu
bapa dan para guru dalam mendepani sikap anak-anak dan para pelajar mereka.
Antara teknik dan
cara yang dikupas dalam buku ini ialah; mengendalikan perasaan yang mengganggu
pelajaran, kemahiran mengajak anak bekerjasama, pilihan mendisiplinkan diri
selain daripada hukuman, menyelesaikan masalah bersama-sama anak, kaedah pujian
dan kritikan, dan cara membebaskan anak yang terperangkap dalam perwatakan
mereka.
Menarikannya buku
ini ialah setiap kupasan bab disertai dengan penerangan dalam bentuk lukisan
komik. Komik ini membantu pembaca memahami dengan lebih jelas situasi yang
berlaku antara kanak-kanak dengan ibu bapa atau guru.
Namun apabila
membaca buku ini, saya selalu tertanya-tanya bagaimana mahu mengaplikasikan
semua teknik yang diberikan oleh penulis. Nampak seperti mudah apa yang
diceritakan dalam buku ini, padahal hakikatnya mungkin sukar dipraktikkan.
Penulis menulis
buku ini berdasarkan situasi di tempatnya iaitu di Amerika. Sedangkan saya
berada di Malaysia. Mungkin perbezaan kanak-kanak, keadaan dan latar belakang memberikan
sedikit perbezaan dalam mempraktikkan teknik ini.
Namun, saya telah
mencuba beberapa teknik dan hasilnya positif. Beberapa orang pelajar saya dari kelas tahun satu menampakkan perubahan ke arah yang lebih baik. Masih ada juga
yang kekal dengan sikap yang sama, tiada perubahan yang dapat dilihat. Mungkin ada
sesetengah pelajar memerlukan lebih waktu.
No comments:
Post a Comment