Sunday, 21 April 2019

Ulasan Novel - Sebelas Patriot


SEBELAS PATRIOT – ANDREA HIRATA

“Jika ada hal lain yang sangat menakjubkan di dunia ini selain cinta, bola sepak”
-          Andrea Hirata

Novel lama yang baru berjaya diperoleh di PBAKl 2019. Sudah lama mencari novel ini sejak tahun 2018, namun akibat cetakan lama (pada tahun 2013) agak susah untuk menjumpai novel ini. Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga untuk memilikinya. 

Apa yang boleh diperkatakan tentang novel ini ialah sebuah novel yang nipis tetapi padat. Sekadar 74 muka surat. Novel ini nipis tetapi penuh elemen patriotisme. Penulis berjaya menjalin hubungkan rasa cintakan dunia bola sepak dengan rasa cinta kepada tanah air. 

Perjalanan hidup bola sepak watak utama disemarakkan dengan semangat patriotisme hasil mengetahui cerita tentang perjuangan ayahnya sedari zaman penjajah lagi. Novel juga mengangkat kisah kasih sayang seorang anak terhadap ayahnya. Setiap usaha si anak adalah kerana ayahnya.

Thursday, 11 April 2019

HOW TO TALK SO KIDS CAN LEARN AT HOME AND IN SCHOOL


HOW TO TALK SO KIDS CAN LEARN AT HOME AND IN SCHOOL - Adele Faber & Elaine Mazlish

Kali pertama melihat buku ini di kedai buku, terus terasa ingin memilikinya lantaran  keinginan kuat untuk lebih memahami kanak-kanak. Tambahan lagi, apabila selalu dibayangi dengan soalan seperti; “kenapa budak-budak ini susah nak dengar cakap aku?”. “salahkan cara aku tegur mereka ini?”

Lantas, helaian demi helaian dibaca bermula dari kulit hadapan hingga kulit belakang. Setiap bab yang dibaca selalu diakhiri dengan ayat; “oh, begitu rupanya caranya.” Barulah difahami akan teknik dan cara untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak.

Dalam buku ini, penulis mendatangkan pelbagai teknik dan cara yang boleh digunakan oleh ibu bapa dan para guru dalam mendepani sikap anak-anak dan para pelajar mereka.
Antara teknik dan cara yang dikupas dalam buku ini ialah; mengendalikan perasaan yang mengganggu pelajaran, kemahiran mengajak anak bekerjasama, pilihan mendisiplinkan diri selain daripada hukuman, menyelesaikan masalah bersama-sama anak, kaedah pujian dan kritikan, dan cara membebaskan anak yang terperangkap dalam perwatakan mereka.

Menarikannya buku ini ialah setiap kupasan bab disertai dengan penerangan dalam bentuk lukisan komik. Komik ini membantu pembaca memahami dengan lebih jelas situasi yang berlaku antara kanak-kanak dengan ibu bapa atau guru.

Namun apabila membaca buku ini, saya selalu tertanya-tanya bagaimana mahu mengaplikasikan semua teknik yang diberikan oleh penulis. Nampak seperti mudah apa yang diceritakan dalam buku ini, padahal hakikatnya mungkin sukar dipraktikkan. 

Penulis menulis buku ini berdasarkan situasi di tempatnya iaitu di Amerika. Sedangkan saya berada di Malaysia. Mungkin perbezaan kanak-kanak, keadaan dan latar belakang memberikan sedikit perbezaan dalam mempraktikkan teknik ini.  

Namun, saya telah mencuba beberapa teknik dan hasilnya positif. Beberapa orang pelajar saya dari kelas tahun satu menampakkan perubahan ke arah yang lebih baik. Masih ada juga yang kekal dengan sikap yang sama, tiada perubahan yang dapat dilihat. Mungkin ada sesetengah pelajar memerlukan lebih waktu.

Ulasan Novel - Sebelas Patriot

SEBELAS PATRIOT – ANDREA HIRATA “Jika ada hal lain yang sangat menakjubkan di dunia ini selain cinta, bola sepak” -         ...